Selepas selesai Solat Jumaat di Putrajaya, penulis terbaca satu papan tanda yang lebih kurang berbunyi "Kawasan Larangan Merokk" dan dibawahnya tercatat 'merokok itu haram disisi Islam kerana boleh memudharatkan (Oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, 1997)'....
Penulis terfikir sejenak, betul ke haram? tapi kalau betul haram, kenapa ramai umat Islam masih merokok, secara terang-terangan pula tu...penulis masih keliru dengan kenyataan tersebut...penulis turut kesal kerana dulu pernah juga merokok (kini dah hampir 5 tahun berhenti)..
Berikut adalah sedikit maklumat yang penulis boleh kongsikan bersama;
1. pemerintah kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat kuat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara.
2. Pendapat ulama terbahagi kepada 2 kumpulan dalam hukum rokok. Ia seperti berikut :-
A) Haram : Ulama kontemporari yang mengatakan demikain adalah Dar Al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, Seluruh ahli persidangan Mencegah rokok ( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979 ; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah
Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh muhd alauddin haskafi al-hanafi, syeikh sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar'ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, hlm 25-26)
Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun ( seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain ) yang terkandung di dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35 )
Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh " ( Rujuk Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346 )
Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT " Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman" ( Al-Furqaan : 59 ) ; Justeru, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.
Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya : " Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat" ( Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di atas syarat Muslim kata az-zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)
Hadith lain pula menyebut : " Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia" ( Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no 876 )
B) Kumpulan yang Memfatwakan Harus atau Melihat secara tafsil (terperinci)
Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan ), Syeikh Hasan Makmun.
Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandagan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan menggangu, justeru, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan.
3) Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata ( dengan pindaan ) :-
a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.
b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil. Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi yang belum merokok, dan makruh bagi seisap yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera
4) Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga pada 1997 telah memutuskan bahawa Rokok itu Haram di sisi Islam (namun sehingga kini masih belum dikuatkuasakan dengan alasan ia perlu terlebih dahulu diterima dan diwartakan oleh semua negeri-rujuk Utusan Malaysia 15 Disember 2008) -*keterangan lanjut di akhir artikel ini.
5) Negeri Selangor juga telah mengeluarkan Fatwa berkenaan rokok pada 7 Disember 2005 (rujukan pewartaan : Sel. P.U. 51.) seperti mana berikut;
(i) Merokok adalah haram
(ii) Oleh yang demikian , adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa –apa jenis rokok.
(iii) Bagi maksud fatwa ini , “ rokok ” ialah tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.
6) Pengakuan dari seorang yang pernah bekerja di kilang rokok - Salam.. Saya pernah bekerja di sebuah syarikat rokok terkemuka selama hampir 10 tahun. Antara ramuan rahsia selain dari kimia merbahaya adalh sejenis arak/liqour. Ada juga perisa coklat/madu yang meyebabkan ketagihan.. Selain itu, adunan tembakau dimasak/salai untk membunuh sejenis kumbang/vewil. Tapi telur vewil ini masih hdup dan + udara lembab ia akan menetas selepas 3bulan! Tu sebab kretek/rokok expired akan ada bintik2 minyak/air pada kertas. Boleh koyak chek tengok, hehe.. Kalau hisap mesti ada bunyi terbakar/meletis.. Alhamdulillah, saya tak pernah hisap rokok (kerja makan gaji je!) Dan dah berhenti lama dah pun..
Daripada sedikit maklumat di atas penulis dan rakyat perlukan satu kenyataan rasmi yang tepat daripada pihak berkuasa...Kekeliruan ini perlukan penjelasan yang lebih terperinci. Sekiranya betul haram, kerajaan perlu ambil tindakan tegas dengan melarang penjualan bahan tersebut kepada umat Islam...atau lebih baik, haramkan terus penjualan rokok di negara ini. Ia telah terbukti boleh mendatangkan penyakit bukan sahaja orang yang menghisapnya tetapi juga orang disekeliling. Tidak guna setakat wujudkan kempen "TAKNAK", tapi penjualan masih berleluasa hinggakan pelajar sekolah (seperti penulis dahulu) sangat mudah untuk mendapatkannya.
Berkaitan dengan maklumat ke 4 di atas, penulis sedikit kesal dengan tindakan pihak berkuasa kerana seolah-olah sengaja melambatkan membuat keputusan rasmi. setelah Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan rokok itu haram, sepatutnya setiap negeri perlu menerima dan mewartakan keputusan tersebut. (Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pewartaan itu pula hanya dilakukan apabila Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri meluluskannya serta mendapat perkenan Sultan atau Raja negeri berkenaan.Beliau yang juga Setiausaha Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berkata, selepas diperkenankan Sultan, barulah hukum mengharamkan merokok boleh diwartakan menjadi fatwa di negeri tersebut.''Proses pewartaan bergantung pada keperluan, kesediaan dan kepentingan isu itu di peringkat negeri. Apa yang penting, isu itu boleh diselaraskan di peringkat kebangsaan.
''Soal pelaksanaan untuk dijadikan satu fatwa rasmi bergantung pada budi bicara pihak kerajaan negeri," katanya pada sesi dialog Majlis Fatwa Kebangsaan bersama media di sini malam ini. - Utusan Malaysia 15 Disember 2008) Sebelum itu, seorang Tokoh Agama terkemuka, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz telah mempersoalkan mengapa sehingga kini keputusan tersebut masih tidak dapat diwartakan di semua negeri. Beliau menekankan bahawa langkah itu adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelak umat Islam di negara ini terus keliru berhubung isu berkenaan.
Sekian...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan